BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Islamic Widget

Daisypath Anniversary Tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Lilypie Second Birthday Tickers

Lilypie - Personal pictureLilypie Second Birthday tickers

Wednesday, May 25, 2011

Pentingnya Menjaga Kebersihan






Marilah kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kepada Allah Swt dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintahNya dan menjauhi segala laranganNya, termasuk menjaga kebersihan diri, keluarga, masyarakat, negara dan persekitaran. Semoga kita berjaya dan beroleh keberkatan di dunia dan di akhirat.

Kebersihan merupakan amalan yang perlu dilaksanakan dalam kehidupan seharian, samada kebersihan rohani atau jasmani. Kedua-dua perkara ini tidak boleh dipisahkan sekiranya kita ingin mendapat kejayaan dan keselesaan, kerana kebersihan melambangkan keteguhan iman seseorang kepada Allah Swt. Rasulullah Saw bersabda :

Bermaksud : " Kebersihan itu Sebahagian Daripada Iman ".

Islam menganjurkan umatnya supaya sentiasa mengamalkan kebersihan dalam semua perkara yang melibatkan diri sendiri, keluarga, masyarakat, organisasi dan negara, kerana ia boleh mendatangkan suasana yang tenang, kesihatan yang selamat dan mencapai kesejahteraan kepada kita semua.

Sebagaimana hamba Allah kita hendaklah mengabdikan diri kepadaNya dengan mengerjakan perkara yang tidak bercanggah dan mendatangkan kemudaratan. Kita hendaklah membersihkan diri dari mensyirikkan Allah, dari kekufuran dan segala perkara yang boleh membawa kepada bahaya dan dosa. Setiap amalan baik dan bersih dari segi rohani atau jasmani di sukai Allah, kerana Allah sentiasa menyukai hambaNya yang sentiasa mensucikan diri. Firman Allah di dalam surah Al-Baqarah ayat 222 :

Bermaksud : " SesungguhNya Allah mengasihi orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri ".

Amalan kebersihan hendaklah di jadikan sebagai budaya dalam kehidupan kita. Islam sangat mengambil berat aspek kebersihan ini dan memberi keutamaan supaya menjaga kebersihan diri sendiri, tempat tinggal, tempat ibadat, tempat-tempat awam, tempat makan seperti restoran dan sebagainya. Islam menggalakkan umatnya membersihkan diri sebelum melakukan tuntutan kewajipan lain-lain. Misalnya terlebih dahulu seseorang yang hendak mendirikan solat hendaklah memastikan diri, pakaian dan tempat solatnya bersih dan terhindar dari segala najis.

Kita hendaklah peka dan bertanggungjawab untuk menjadikan tempat-tempat ibadat seperti masjid, surau atau musolla sentiasa dalam keadaan bersih. Begitu juga dengan segala kemudahan yang di sediakan seperti tandas atau bilik air dan lain-lain hendaklah di jaga supaya sentiasa baik, kelihatan bersih, tidak pula di rosakkan oleh orang yang tidak bertanggungjawab.

Oleh kerana masjid atau surau merupakan tempat mendirikan sembahyang, perlu di jaga dan tidak dicemari bau busuk sebagaimana sabda Rasulullah Saw yang bermaksud :

" Bahawasanya masjid ini tidak boleh dicemari oleh najis dan kekotoran, kerana ia adalah tempat untuk berzikir kepada Allah Swt dan membaca Al-quran ".

(Hadis riwayat Muslim)


Mengabaikan kebersihan akan menyebabkan tersebarnya pelbagai penyakit seperti kolera, cirit-birit, denggi, keracunan makanan dan sebagainya. Seterusnya menyumbang kepada suasana alam sekitar yang tidak sihat.

Selain dari menjaga kebersihan yang disebutkan tadi, kita di galakkan untuk menjaga kebersihan alam sekitar dari pencemaran dan kemusnahan, berusaha menjadikan alam sekitar berada dalam keadaan bersih sepanjang masa di samping mengekalkan keindahan alam semulajadi di negara kita untuk menarik minat orang ramai dan pelancong.

Untuk melahirkan persekitaran hidup yang bersih dan sentiasa kelihatan menarik, perkara-perkara berikut perlulah kita hayati bersama, iaitu :

Pertama : Kita hendaklah mempertingkatkan kesedaran terhadap kebersihan diri, tempat tinggal, tempat beribadat, tempat kerja dan seluruh tempat awam sebagai cermin kemurnian ajaran Islam yang mengutamakan kebersihan dalam semua bidang kehidupan.

Kedua : Setiap individu dari semua kalangan sama-sama memikul tanggungjawab dan menanam sikap suka kepada kebersihan secara berterusan dengan melaksanakan amalan ini setiap masa bagi menghindari berlakunya kekotoran di merata-rata tempat.

Ketiga : Kita sama-sama mendisiplinkan diri bagi menjaga imej Islam yang sukakan kebersihan dengan melahirkan persekitaran yang sejahtera dan selesa.

Keempat : Mempertingkatkan amalan tegur-menegur dan nasihat-menasihati sesama kita dalam hal menjaga kebersihan. Dengan demikian, ia akan melahirkan perasaan cinta kepada kebersihan dan benci kepada kekotoran, di samping memastikan tidak merebak penyakit berjangkit.

Kelima : Menggunakan kemudahan yang di sediakan dengan sebaik mungkin seperti tong sampah, tong kitar semula dan tempat pembuangan sampah tanpa membiarkan sampah sarap dan kekotoran bertabur merata-rata.


Suatu amalan yang menjadi kebanggaan masyarakat kita ketika dahulu dan jarang-jarang di lakukan ketika ini, malah sudah semakin terhapus adalah semangat gotong-royong. Alangkah baiknya di hidupkan kembali aktiviti ini di mana-mana. Sama-sama bergotong-royong membersihkan persekitaran rumah, tempat ibadat, tempat riadah juga tempat-tempat awam. Jangan semata-mata mengharapkan pihak berkuasa tempatan atau pekerja-pekerja terlibat sahaja melakukannya. Kita juga dapat memainkan peranan dan ikutan serta bekerjasama menjalankan amalan ini.

Selain dari itu, amalan ini dapat mengeratkan hubungan silaturrahim sesama kita dan masyarakat amnya. Ini bertepatan dengan roh Islam seperti firman Allah Swt di dalam Surah Al-Maa'idah ayat 2 yang bermaksud :

" Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan melakukan kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan ".

Semangat gotong-royong dan bekerjasama perlu wujud dalam budaya kita semua, malah menjadi sebahagian dari kehidupan di mana sahaja kita berada. Semangat ini hendaklah di suburkan. Kesedaran menjaga kebersihan boleh menjamin diri, masyarakat dan negara beroleh kesejahteraan dan kemakmuran.

Keperihatinan dan langkah kerajaan menganjurkan kempen kebersihan memberi ruang kepada semua pihak untuk membantunya dalam menjayakan kempen ini. Kesempatan ini janganlah di abaikan atau di biar begitu sahaja. Semua pihak hendaklah bekerjasama dan memainkan peranan. Masjid dan surau di seluruh negeri Selangor hendaklah mengambil langkah sewajarnya dengan melipatgandakan penjagaan kebersihan samada tandas, bilik air, ruang solat dan sebagainya, sesuai dengan hadis yang dibacakan tadi.



Wassalam.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...